Minggu, 07 Februari 2010

Al-Quran Tulisan Tangan yang Paling Bersejarah di China

Al-Quran yang disimpan di dalam Masjid Besar Jiezi Kaunti Autonomi Xunhua Provinsi Qinghai baru-baru ini dikenal pasti oleh pakar-pakar sebagai Al-Quran yang paling kuno di China. Dengan perhatian pemimpin kerajaan dan rakyat China, Al-Quran tersebut telah disimpan secara utuh dan akan dipamerkan kepada awam.
Al-Quran tersebut dibalut dengan kain sutera dan disimpan di dalam dua buah peti yang berukuran 60 sentimeter panjang. Al-Quran itu terdiri daripada 30 jilid, kulit setiap buku diperbuat dripada kain sutera berwarna biru. Setiap jilid terdiri daripada 867 lembaran dan bertulis dalam tulisan Arab.

Pengurus Jawatan kuasa Pentadbiran Masjid Besar Jiezi, Han Fuyi telah menceritakan tentang sejarah Al-Quran tersebut. Pada lebih 700 tahun yang lalu, nenek moyang penduduk Etnik Sala mengalami perselisihan pelbagai kaum. Pemimpin Etnik Sala mengetuai kaumnya menunggang unta, membawa air, tanah dan Al-Quran dari kampung halaman mereka di kawasan Turkmenistan, Asia Tengah lalu berhijrah ke China, dan akhirnya, mereka telah menetap di Kaunti Xunhua Provinsi Qinghai.
Al-Quran yang disimpan di dalam Masjid Besar di Kaunti Xunhua sekarang sebenarnya telah dibawa oleh nenek moyang Etnik Sala dari kampung halaman mereka. Kononnya, Khalifah III yang memerintah Arab pada tahun 644 hingga tahun 656 pernah menulis 3 buah Al-Quran. Al-Quran yang disimpan oleh penduduk Etnik Sala merupakan salah sebuah daripada 3 buah Al-Quran tersebut dan merupakan Al-Quran tulisan tangan yang tersimpan paling utuh di dunia. Oleh sebab itu, penduduk Etnik Sala sangat menghargai Al-Quran tersebut.
Pada tahun 1954, Al-Quran tersebut pernah dipamerkan dalam pameran antarabangsa yang diadakan di Syria. Al-Quran itu telah menarik perhatian ramai masyarakat dari dunia Islam.
Pakar China Ma Chengjun menyatakan bahawa semasa pakar dari pelbagai negara Islam menceritakan tentang penghijrahan nenek moyang Etnik Sala ke China, mereka mengakui bahawa terdapat catatan tentang nenek moyang Etnik Sala pernah membawa sebuah Al-Quran dari kampung halamannya.
Pada September tahun 2004, kumpulan kajian yang terdiri daripada beberapa orang pakar yang terkenal telah mengadakan kajian terhadap Al-Quran tersebut. Pakar-pakar tersebut berpendapat bahawa Al-Quran tersebut ditulis dalam tempoh abad ke-8 hingga abad ke-13. Sejarahnya adalah lebih lama berbanding Al-Quran yang disimpan di Masjid Dongsi Beijing yang dianggap sebagai Al-Quran tertua di China. Al-Quran Etnik Sala tersebut telah dikenal pasti merupakan Al-Quran yang paling bersejarah di China.
Kebanyakan Al-Quran yang bersejarah di China telah ditulis oleh umat Islam China, namun Al-Quran tersebut berasal dari Arab. Al-Quran tersebut memainkan peranan yang penting dalam kajian asal usul, sejarah dan agama Etnik Sala, malah kajian agama Islam di seluruh China.
Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Agama Xunhua, Ma Qing menyatakan bahawa oleh sebab kurangnya pembiayaan untuk melindungi Al-Quran tersebut, maka Al-Quran itu telah tersimpan begitu lama di dalam peti keselamatan di Masjid Besar Jiezi. Oleh sebab teknik perlindungannya yang kurang maju, maka Al-Quran tersebut telah mengalami hakisan angin. Warna kertasnya telah menjadi kuning, sebahagian dripada tulisannya menjadi kurang jelas. sekiranya tindakan berkesan untuk melindungi Al-Quran itu tidak dijalankan, maka, berkemungkinan Al-Quran itu tidak akan wujud lagi pada 10 tahun akan datang.
Pakar-pakar berpendapat bahawa sebagai warisan yang terpenting bagi penduduk Etnik Sala, Al-Quran tersebut harus disimpan di Masjid Besar Jiezi. Membuat salinan dan merakamkan rupa bentuk Al-Quran tersebut serta memasukkannya ke dalam komputer merupakan kerja yang paling mendesak pada masa ini. Serentak dengan itu, kerja pembersihan dan pembaikan serta pengawalan suhu tempat penyimpanan giat dijalankan untuk tujuan penyimpanan Al-Quran itu. Dengan pelaksanaan tindakan-tindakan tersebut, maka Al-Quran itu dapat disimpan dalam jangka panjang.
Pemimpin-pemimpin China seperti Pengerusi Jawatankuasa Majlis Permesyuaratan Politik Rakyat China, Jia Qinglin memberikan perhatian yang tinggi atas kerja-kerja melindungi Al-Quran tersebut. Jabatan Pentadbiran Peninggalan Sejarah Kebangsaan China akan memperuntukkan 1.5 juta yuan RMB untuk melindungi Al-Quran tersebut.
Penduduk Etnik Sala turut menyumbangkan derma, mereka berharap agar dapat membina sebuah muzium dengan bantuan kerajaan bagi melindungi dan mempamerkan Al-Quran yang sangat berharga itu. Setakat ini, jumlah sumbangan derma daripada penduduk Etnik Sala telah mencapai hampir 4 juta yuan RMB. Projek muzium itu telah dirasmikan dan akan berakhir pada akhir tahun ini. Muzium itu akan terdiri daripada dua ruang iaitu ruang pameran Al-Quran dan ruang pameran adat resam penduduk Etnik Sala.

Penulis: Andika


Tidak ada komentar:

Posting Komentar