Minggu, 07 Februari 2010

Sesi Kedua, Peranan Masjid di Beijing

Prakata

Setelah agama Islam diperkenalkan ke Beijing, umat Islam yang berhijrah ke Beijing telah membina beberapa buah masjid di bandar tersebut. Pembudayaan masjid di Beijing telah turut terbentuk. Masjid-masjid di Beijing telah menjadi pembawa dan pembentuk budaya Islam dalam perkembangan agama Islam selama lebih seribu tahun di bandar tersebut. Masjid-masjid di Beijing merupakan tempat yang suci dan luhur bagi umat Islam dan merupakan bahagian yang penting dalam budaya agama Islam di bandar tersebut. Perkembangan agama Islam di Beijing telah menentukan proses pembentukan budaya masjid di bandar itu.

Semasa saudagar Islam dari Timur Tengah memperkenalkan agama Islam ke Beijing pada zaman Dinasti Song dan Dinasti Liao, budaya masjid telah mula terwujud di bandar itu. Semasa Etnik Hui, etnik minoriti yang beragama Islam terbesar di China telah terwujud pada zaman Dinasti Yuan, pembudayaan masjid di Beijing telah berkembang pesat. Setelah Dinasti Ming dan Dinasti Qing, pembudayaan masjid di Beijing telah menjadi lebih sempurna. Kebudayaan agama Islam telah berakar umbi di Beijing dalam tempoh masa yang panjang dan telah saling melengkapi dan saling mempengaruhi dengan kebudayaan tradisonal di bandar tersebut. Pembudayaan masjid telah menjadi bahagian yang penting dalam kehidupan etnik minoriti di Beijing.
Perkembangan pembudayaan masjid di Beijing mempunyai ciri-ciri seperti: masjid terletak di kawasan kediaman berkelompok umat Islam, masjid merupakan arena untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan, masjid melatih lahiriah dan rohaniah umat Islam, masjid telah menyediakan perkhidmatan untuk umat Islam, masjid pernah dijadikan sebagai badan pentadbiran di kawasan komuniti Islam, masjid merupakan ruang pendidikan bagi umat Islam, masjid memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi umat Islam, masjid merupakan jambatan persahabatan antara umat Islam dari dalam dan luar negara, masjid merupakan pembawa bagi kebudayaan dari dalam dan luar negara.

Pada postingan terdahulu, telah dijelaskan peranan masjid hingga keempat.

Kelima, masjid-masjid di Beijing terletak di kawasan kediaman berkelompok umat Islam. Sebagai salah satu cara kehidupan, pembudayaan masjid telah memainkan peranan yang penting dalam proses kewujudan etnik Hui serta mempunyai hubungan yang tidak dapat dipisahkan dengan kepercayaan, akhlak, adat resam, makanan dan kebudayaan umat Islam di bandar Beijing. Di bandar Beijing, di mana-mana saja tempat yang terdapat masjid, jumlah umat Islam di kawasan tersebut pastilah agak ramai. Saiz sesebuah masjid akan bersesuaian dengan jumlah umat Islam di kawasan tersebut. Tokong untuk agama Budhha dan Taoisme di Beijing biasanya akan dibina di kawasan terpencil seperti kawasan pergunungan, namun kesemua masjid di Beijing telah dibina di kawasan kediaman berkelompok umat Islam.
Keenam, masjid-masjid di Beijing merupakan tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan bagi umat Islam di bandar itu.
Umat Islam di Beijing menunaikan kewajipan di masjid pada tiap-tiap hari. Sempena hari Jumaat, umat Islam akan berkumpul beramai-ramai di masjid untuk solat Jumaat berjemaah. Semasa hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitri, Maulidur Rasul, Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha dan lain-lain, umat Islam di Beijing akan berkumpul secara beramai-ramai di masjid untuk menjalankan aktiviti sambutan hari kebesaran tersebut.
Ketujuh, masjid-masjid di Beijing telah melatih lahiriah dan rohaniah umat Islam. Menurut Hadis, Nabi Muhammad SAW telah bersabda, "kebersihan adalah sebahagian daripada iman". Terdapat sejumlah 68 buah masjid di seluruh bandar Beijing dan setiap masjid telah menyediakan bilik wuduk. Umat Islam boleh membersihkan diri daripada hadas kecil di bilik wuduk tersebut. Pelbagai masjid di Beijing telah menyediakan air panas dalam tempoh sepanjang tahun bagi memudahkan umat Islam untuk mengambil wuduk.
Kedelapan, masjid-masjid di Beijing merupakan ruang untuk menyediakan perkhidmatan bagi umat Islam. Umat Islam di Beijing masih mengekalkan tradisi dengan mengadakan majlis perkahwinan di masjid. Imam akan menghadiri majlis perkahwinan dan memimpin bacaan doa kepada pengantin baru.
Setelah umat Islam di Beijing meninggal dunia, upacara menyembahyangkan jenazahnya akan diadakan di masjid. Pihak masjid akan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk urusan mandi jenazah dan menghantar jenazah itu ke kawasan perkuburan. Imam akan mengetuai upacara pengebumian dan bacaan talkin.
Kalau umat Islam di Beijing jatuh sakit, saudara-mara atau warisnya akan pergi ke masjid untuk menjemput imam bagi membacakan doa selamat kepada pesakit itu. Selain itu, umat Islam di Beijing sentiasa membawa ternakan dan ayam itik ke masjid untuk disembelih menurut syariat Islam. Masjid diumpamakan seperti rumah bagi umat Islam di Beijing, kehidupan umat Islam tidak dapat dipisahkan daripada masjid.
Dan kelima, masjid pernah dijadikan sebagai badan pentadbiran di kawasan kediaman berkelompok umat Islam di Beijing.
Pada zaman Dinasti Yuan, kerajaan pusat telah menubuhkan badan pentadbiran khas untuk menangani hal ehwal umat Islam di Beijing. Badan pentadbiran tersebut mentadbirkan hal ehwal agama Islam dan kehidupan umat Islam melalui pelbagai masjid. Pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing, mufti dan imam yang berprestij tinggi telah dilantik oleh kerajaan bagi menjalankan tanggungjawab untuk menangani hal ehwal agama dan kehidupan umat Islam. Oleh sebab itu, masjid pernah dijadikan sebagai badan pentadbiran di kawasan kediaman berkelompok umat Islam di Beijing. Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, fungsi masjid sebagai pertubuhan masyarakat semakin berkurang, namun kalau terdapat perselisihan antara umat Islam, mereka masih bersedia untuk menyelesaikan masalah tersebut melalui imam. Masjid-masjid telah memainkan peranan yang penting untuk memelihara kestabilan masyarakat dan perpaduan antara pelbagai etnik di Beijing.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar