Minggu, 07 Februari 2010

Masjid Cenderawasih di Bandar Hangzhou China

Bandar Hangzhou terkenal dengan pemandangan yang indah, orang yang cantik dan makanan yang lazat di China. Terdapat juga sebuah masjid yang bersejarah lama di bandar itu, iaitu masjid cenderawasih.
Masjid Cenderawasih terletak di Jalan Zhongshan, jalan yang paling meriah di bandar Hangzhou. Kawasan masjid itu seluas 2600 meter persegi. Masjid Cenderawasih di Hangzhou merupakan salah satu daripada 4 buah masjid tertua di China yang dibina oleh orang Arab semasa agama Islam diperkenalkan ke China pada lebih 1400 tahun yang lalu. Tiga buah masjid tertua di China yang lain masing-masing terdapat di bandar Guangzhou, Quanzhou dan Yangzhou.

Masjid Cenderawasih pernah disebut sebagai "Zhenjiaosi", "Huihuitang" dan lain-lain pada masa dahulu. Menurut sejarah, masjid itu telah beberapa kali dibaik pulih. Pada tahun 1892, masjid itu secara rasmi disebut sebagai "Masjid Cenderawasih" sehingga sekarang. Ulama masjid Cenderawasih yang merangkap Naib Pengerusi Persatuan Islam Hangzhou, Encik Ma Zhenyu berkata, "Pada tahun 1281Masihi, seorang umat Islam dari Parsi datang melawat bandar kami. Beliau telah menemui sebuah masjid yang telah musnah di sini, lantas beliau telah menyumbangkan dana kewangan untuk membina masjid itu semula. Itulah masjid Cenderawasih yang ada pada masa sekarang."

Bangunan masjid Cenderawasih mempunyai seni bina yang istimewa. Masjid itu disebut sebagai masjid Cenderawasih kerana bentuk bangunannya seakan-akan sayap burung Cenderawasih. Pada tahun 1929, masjid itu telah dibaik pulih. Pintu gerbang masjid itu telah runtuh dan dibina sebuah menara azan 5 tingkat yang dibina daripada kayu. Namun pada masa sekarang, bentuk bangunan masjid itu sudah tidak seperti bentuk burung Cenderawasih.
Balai solat merupakan bangunan yang bersejarah paling lama di dalam masjid itu. Bangunannya mewakili seni bina Islam di China pada zaman kuno. Encik Ma Zhenyu berkata, "Warna, struktur dan seni bina masjid kami amat baik. Seni bina bangunan di masjid kami yang seakan-akan masjid di Iran. Umat Islam yang telah mengziarahi masjid kami menyatakan bahawa terdapat sebuah masjid di Iran seakan-akan masjid kami."
Peninggalan sejarah dan artifak Islam dalam jumlah besar di masjid Cenderawasih telah menjadikan masjid itu terkenal di dalam dan luar China. Terdapat ramai pelancong negara asing mengziarahi masjid itu. Ulama Ma Zhenyu berkata, "Terdapat ramai tetamu dari Malaysia datang melawat masjid kami, termasuk pegawai kerajaan, rombongan puspanita dan pelancong."
Masjid itu telah mengadakan pelbagai aktiviti agama. Ulama Ma Zhenyu berkata, "Ramai umat Islam datang bersolat di masjid kami pada setiap waktu solat iaitu 5 waktu sehari, Semasa Hari Jumaat, jumlah umat Islam yang bersolat di masjid kami akan bertambah ramai. Semasa bulan puasa pula, kami akan menyumbangkan sedekah masjid untuk membantu warga emas yang tidak mempunyai anak, fakir miskin, kanak-kanak miskin yang tidak dapat bersekolah dan lain-lain."
Pada masa dahulu, terdapat 5 buah masjid di bandar Hangzhou. Namun 4 buah masjid yang lain itu telah musnah. Masjid Cenderawasih merupakan satu-satunya masjid di bandar itu. Selain 4 ribu orang umat Islam di Hangzhou, terdapat juga ramai umat Islam dari kawasan yang lain datang bersolat atau menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Korban di masjid itu. Kadang-kadang masjid itu tidak dapat manumpung jumlah kehadiran jemaah yang begitu besar. Seorang imam di masjid itu berkata, "90% daripada umat Islam yang bersolat di masjid kami ialah penduduk dari kawasan lain. Semasa pemimpin kerajaan Hangzhou mengadakan tinjauan ke masjid kami, beliau telah memberikan tanah yang luas kepada masjid itu. sebahagian daripada tanah itu digunakan untuk membina sebuah kompleks Islam, manakala sebahagian yang lain untuk membina sebuah masjid baru bagi memenui keperluan umat Islam."
Pada masa sekarang, kompleks Islam dan masjid baru akan selesai dibina. Masjid Cenderawasih yang semakin maju akan meningkatkan interaksi antara umat Islam di Hangzhou dengan umat Islam di seluruh dunia.

Penulis:Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar