Minggu, 07 Februari 2010

Seri Kedua Kuiz Pengetahuan "Masjid di China"

Kuiz Pengetahuan "Masjid di China" Online
Masjid merupakan pusat aktiviti keagamaan utama bagi orang Islam. Orang Arab memanggil tempat tersebut sebagai "Masjid" yang bermaksud tempat ibadat yang murni bagi penganut Islam. Dalam sejarah China, orang China yang memeluk agama Islam telah memberi bermacam-macam panggilan terhadap "Masjid". Contohnya pada zaman Dinasti Tang, Masjid dinamakan sebagai "Li Tang" atau "Li Bai Tang" yang bermakna balai solat yang besar. Pada zaman Dinasti Yuan, panggilan Masjid semakin banyak di golongan rakyat. Selalunya sebuah masjid mempunyai pelbagai nama. Contohnya seperti Huai Sheng Si, sebuah masjid di Guangzhou, ia juga dipanggil sebagai Masjid Menara Cahaya atau Masjid Peringatan Nabi. Orang yang bukan Islam selalunya memanggil Masjid sebagai Balai "Hui Hui Tang".

Menurut kajian ahli sejarah, "Qing Zhen Si" pertama kali digunakan pada zaman pertengahan abad ke-13, iaitu pada zaman Dinasti Yuan dalam sejarah China. Bermula dari pertengahan abad ke-15, ungkapan "Qing Zhen" dalam bahasa Mandarin mula digunakan oleh umat Islam di China dengan lebih meluas. Menurut catatan, Masjid Dongsi telah dibina di Bandar Beijing pada zaman pemerintahan Maharaja Zheng Tong, Dinasti Ming, iaitu tahun 1447 hingga tahun 1448. Pada awalnya masjid itu dinamakan sebagai "Li Bai Si" dan kemudian diganti dengan "Qing Zhen Si" mengikut titah Maharaja pada masa itu. Peristiwa pemberian nama "Qing Zhen Si " oleh Maharaja telah menunjukkan bahawa kedudukan agama Islam pada zaman itu semakin meningkat. Semenjak itu semakin ramai orang Islam menggunakan perkataan "Qing Zhen" dalam kehidupan seharian mereka. Misalnya mereka menyebut makanan mereka sebagai Qing Zhen Shi Pin, restoran mereka dinamakan sebagai restoran Qingzhen.
Maksud asalnya ungkapan "Qing Zhen" dalam bahasa Mandarin ialah bersih, murni dan rendah hati. Orang Islam di China beransur-ansur memberikan lebih banyak erti kepada ungkapan "Qing Zhen". Apabila cendekiawan Islam di China menghuraikan ajaran Islam, mereka menggunakan perkataan "Qing" yang melambangkan kesucian Allah dan "Zhen" menandakan kesatu-satunya kewujudan Allah. Sejak zaman Dinasti Qing, sebutan lain bagi masjid Islam semakin kurang, manakala sebutan "Qing Zhen Si" dijadikan sebagai nama khas bagi masjid Islam di seluruh negara China.
Menurut catatan, terdapat kira-kira 30 ribu buah masjid di seluruh tanah besar China. Masjid di pelbagai tempat di China mempunyai keunikannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, seni bina Masjid di China boleh dibahagikan kepada dua sistem yang berlainan, iaitu reka bentuk tradisional China yang mengutamakan struktur kayu dan reka bentuk Arab. Walaupun begitu, kedua-dua sistem seni bina tersebut merupakan bukti sejarah kepada aktiviti pertukaran kebudayaan dan hubungan persahabatan antara China dengan negara-negara di kawasan Arab selama ini.
Bersama-sama penyebaran awal agama Islam ke China pada Dinasti Tang dan Dinasti Song, masjid juga muncul di kawasan tenggara pesisir laut China. Masjid-masjid pada masa itu mempunyai ciri-cirinya tersendiri.
Pertama, seni bina masjid pada masa itu selalunya menggunakan batu dan batu bata. Masjid Huai Sheng Si yang saya sebut tadi mempunyai sebuah menara yang tinggi. Oleh sebab itu, masjid Huai Sheng Si juga disebutkan "Masjid Menara Cahaya". Menara itu diperbuat daripada batu dan batu bata. Tangga pusingan di dalam menara itu juga diperbuat daripada batu bata. Selain itu, pintu gerbang dan dewan masjid Qing Jing Si di Quan Zhou itu juga dibina daripada batu bata. Cara untuk menurapkan batu bata itu adalah unik, iaitu menggunakan batu berbentuk panjang dan batu segi empat secara berselang-seli supaya bentuk mukanya lebih cantik. Katanya cara tersebut sering terdapat di kawasan Iran.
Kedua, kebanyakan masjid pada masa itu tidak ada paksi pada tengah-tengah seni binanya. Oleh sebab itu, susun atur keseluruhan masjid itu tidak simetri. Susun atur seperti ini sangat berbeza dengan reka bentuk kuil dan balai tradisional China.
Ketiga, sesuatu yang kelihatan sama ada secara keseluruhan atau bahagian-bahagian yang kecil yang terdapat di masjid pada masa itu, kebanyakannya menyerap unsur reka bentuk Arab. Yang mewakili masjid seperti ini ialah Masjid Huai Sheng Si di Guangzhou. Setelah memasuki masjid itu, kita akan melalui tiga buah pintu yang bersambungan. Kemudian terdapat sebuah bangunan yang dinamakan Bangunan Cerapan Bulan. Di belakang bangunan tersebut terdapat dewan sembahyang yang menghadap ke arah kaabal di tanah suci Mekah. Manakala menara bercahaya itu tertegak di bahagian barat daya masjid ini. Menara tersebut tingginya lebih kurang 37 meter, kubahnya berbentuk bulat bujur dan bumbungnya tajam. Contoh lain seperti pintu lengkung di masjid Qing Jing Si di Quanzhou, provinsi Fujian. Kesemua ini merupakan sebahagian keunikan seni bentuk bangunan masjid di negara-negara Arab.
Yang terakhir, walaupun masjid di China pada masa itu keseluruhannya dibina mengikut reka bentuk Arab, tetapi orang Islam China masih mengekalkan unsur kebudayaan China dalam seni binanya. Pada zaman purba China, ayam emas yang dianggap sebagai lambang kebahagiaan sering digunakan untuk menghiaskan bangunan. Sehubungan dengan itu, masjid Huai Sheng Si pada asalnya juga meletakkan seekor ayam emas di bumbung menara bercahaya itu.
Sekianlah keempat-empat ciri seni bina masjid di China peringkat awal. Boleh dikatakan, reka bentuk Arab merupakan asas reka bentuk masjid China pada zaman Dinasti Tang dan Dinasti Song, iaitu peringkat awal penyebaran agama Islam ke China. Reka bentuk Arab ini bukan sahaja memperkaya seni bina tradisi China, malahan juga merupakan percubaan yang berharga bagi seni bina masjid tempatan di China. Sehingga zaman Dinasti Yuan, bangunan masjid di China telah memasuki zaman peralihan daripada reka bentuk Arab yang tulen kepada reka bentuk China yang menggabungkan budaya barat. Masjid-masjid pada peringkat ini termasuklah masjid Feng Huang Si di Hangzhou, provinsi Zhejiang dan masjid di Dingzhou, provinsi Hebei. Seni bina Arab dalam masjid Islam telah menjadi warisan yang penting dalam khazanah kebudayaan China.
Soalan:
Soalan pertama, menurut kajian ahli sejarah, pada abad keberapakah "Qing Zhen Si " pertama kalinya digunakan bagi panggilan masjid dalam bahasa Mandarin?
A, Pada pertengahan abad ke-13
B, Pada pertengahan abad ke-15
Soalan kedua, dalam lima pilihan yang berikut, apakah ciri seni bina masjid di China pada peringkat awal?
A, Seni bina masjid pada masa itu selalunya menggunakan batu dan batu bata.
B, Kebanyakan susun atur keseluruhan masjid pada masa itu tidak simetri.
C, Sesuatu yang kelihatan sama ada secara keseluruhan atau bahagian-bahagian yang kecil yang terdapat di masjid pada masa itu, semuanya menyerap unsur reka bentuk Arab.
D, Orang Islam China masih mengekalkan unsur kebudayaan China dalam seni bina masjid.
E, Masjid pada masa itu hanya dicat dengan warna hijau sahaja.

Sila kirimkan jawapan saudara kepada kami. Kami juga mengalu-alukan saudara mempelawa rakan-rakan saudara menyertai aktiviti kuiz pengetahuan.
Alamat e-mel ialah mal@cri.com.cn atau malay@chinabroadcast.cn
Alamat surat-menyurat ialah:
BEIJING,CHINA
MALAY SERVICE, CRI-18
CHINA RADIO INTERNATIONAL
P.O.Box 4216, BEIJING
P.R.CHINA 100040



Tidak ada komentar:

Posting Komentar