Minggu, 07 Februari 2010

Perkembangan Ningxia dalam Sektor Perlindungan Ekologi dan Pendidikan

Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia terletak di laluan ribut pasir. Wilayah itu telah berusaha dengan sedaya upaya untuk menanam deretan pokok seluas 400 ribu hektar sebagai benteng untuk menghalang ribut pasir yang menjejaskan ekologi kawasan dalaman China, khususnya di bandarraya Beijing dan Tianjin.
Rancangan tersebut dikemukakan oleh Presiden China, Hu Jintao semasa beliau mengadakan tinjauan ke Ningxia pada tahun lalu. Menurut beliau, perlindungan dan pembangunan persekitaran ekologi di Ningxia sangat mustahak. Kerajaan dan rakyat perlu berusaha dengan sedaya upaya dan dalam jangka panjang untuk membaiki persekitaran ekologi di kawasan tersebut.

Kaunti Tongxin merupakan lokasi yang paling penting dalam projek perlindungan ekologi tersebut. Kaunti itu terletak di sebuah lembah sepanjang beberapa puluh kilometer yang menyambung banjaran Gunung Qilian dengan banjaran Gunung Helan. Angin kencang yang membawa pasir dari sebelah utara masuk ke kawasan dalaman China melalui lembah tersebut, dan mengakibatkan terjadi beberapa padang pasir yang besar di kawasan tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia, Wang Delin menyatakan, kerajaan wilayah akan menanam deretan pokok seluas 400 ribu hektar dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk menghalang ribut pasir.
Selain kaunti Tongxin di bahagian tengah, kerajaan Ningxia juga akan menanam deretan pokok di Gunung Helan di bahagian utara, kawasan perairan Sungai Kuning dan kawasan gunung Liupanshan di bahagian selatan. Sehingga tahun 2012, projek sebagai benteng deretan pokok untuk melindungi ekologi di keempat-empat kawasan tersebut akan siap dibuat. Selain menghalang ribut pasir, projek tersebut akan dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat di kawasan-kawasan berkenaan.
Penduduk di kawasan tersebut giat menyertai projek perlindungan ekologi tersebut. Musim sejuk merupakan waktu untuk berehat bagi kaum tani di China. Tetapi seorang penduduk daripada kaunti Tongxin, Li Yushan tidak bercuti semasa musim sejuk tahun ini. Beliau giat memilih pokok kecil dan telah menerima latihan dalam penenaman pokok berkenaan. Beliau akan bertanggungjawab untuk menanam hutan seluas lebih 0.5 hektar semasa musim bunga tahun berikutannya. Kata beliau, kerajaan menyediakan pokok kecil dengan percuma, apabila pokok itu besar nanti, beliau boleh menjual balak untuk memperoleh keuntungan.
Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia terletak di kawasan hulu dan pertengahan perairan Sungai Kuning dan berhampiran dengan beberapa padang pasir yang luas. Ribut pasir sering melanda wilayah tersebut. Penduduk di Ningxia dengan pimpinan kerajaan telah mengambil beberapa langkah termasuk menjadikan semula tanah pertanian dan penternakan sebagai hutan dan padang rumput untuk membaiki ekologi di wilayah tersebut. Keluasan padang pasir di Ningxia telah berkurang daripada 16.5 ribu hektar pada awal tahun 1980-an kepada 11.8 ribu hektar pada masa kini.
Sekolah Rendah Xinglong, Pekan Shishi, Kaunti Tongxi merupakan sebuah sekolah yang baru didirikan pada Disember 2007. Kanak-kanak daripada lebih 520 buah keluarga yang baru berhijrah ke kawasan itu belajar di sekolah tersebut. Bangunan sekolah itu amat moden dan cantik.
Pegawai daripada Jabatan Pendidikan Kaunti Tongxin, bandar Wuzhong, Zhang Zhu menyatakan bahawa bangunan untuk sekolah menjadi bangunan yang paling baik di kawasan tersebut.
Seorang murid, Suo Zhongfu berkata, rumahnya terletak amat jauh daripada sekolahnya. Beliau terpaksa berjalan kaki lebih sejam untuk ke sekolah pada setiap hari. Pada masa itu, beliau terpaksa bermalam di sekolah. Setelah sekolah itu dipindahkan ke kawasan ini, rumahnya sudah menjadi dekat.
Beberapa orang murid perempuan menyatakan bahawa bangunan sekolah mereka pada masa dahulu amat usang dan selalu bocor air semasa hujan turun. Tetapi pada masa sekarang, bangunan sekolah mereka amat moden dan baik.
Guru dan penuntut Sekolah Menengah Dingtang, Kaunti Tongxin amat berbesar hati. Bangunan baru untuk sekolah yang berusia lebih 40 tahun itu mempunyai perpustakaan yang boleh memuat lebih 100 orang dan bilik makmal yang moden. Pegawai daripada sekolah itu, Yang Guorui menyatakan, sekolah itu hanya memiliki 6 buah bilik pada masa dahulu. Lebih 30 orang guru berkongsi sebuah pejabat. Pada tahun 2005, kerajaan telah memperuntukkan lebih 7 juta yuan RMB bagi pembangunan semula sekolah tersebut. Kemudahan yang disediakan di sekolah itu yang moden dan sempurna.
Jabatan Pendidikan Wilayah Autonomi Etnik Ningxia memaklumkan, kerajaan wilayah itu telah memperuntukkan 1.7 bilion yuan RMB bagi pembangunan pendidikan. Peruntukan tersebut telah digunakan untuk membina asrama seluas 2.42 juta meter persegi serta membeli buku, peralatan makmal dan kelengkapan belajar untuk penuntut.
Sehingga kini, Ningxia telah selesai membina 87 buah sekolah menengah dan sekolah rendah Muslim yang moden. Sebanyak 13 buah sekolah lagi akan siap dibina pada tahun ini. Sekolah-sekolah tersebut memperoleh peruntukan sejumlah lebih 500 juta yuan RMB daripada kerajaan.
------Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar