Minggu, 07 Februari 2010

Pengelola Perusahaaan Pengeluar Pakaian Islam yang Paling Cemerlang di China

Semasa menunaikan fardu haji ke Mekah, umat Islam China selalu membeli barang-barang untuk kegunaan beribadat Islam seperti kopiah, tudung dan sejadah sebagai cenderahati untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan dan saudara mara mereka. Banyak barang-barang tersebut di Mekah berjenama Buhala dan dihasilkan oleh Syarikat Pakaian dan Komoditi Minoriti Yijia Qinghai Sdn Bhd China (Qinghai Yijia Minority Clothing& Commodity Ltd Co). Walaupun syarikat itu belum lama ditubuhkan iaitu sejak 9 tahun, tetapi ia telah menjadi perusahaan pengeluar barang-barang keperluan Islam yang paling terkenal di China malah di arena antarabangsa.

Etnik Salar merupakan etnik minoriti beragama Islam yang tinggal di bahagian barat laut China. Hanayicao, Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Pakaian dan Komoditi Minoriti Yijia Qinghai, yang juga pencipta jenama Buhala merupakan seorang penduduk etnik Salar. Pada tahun 1996, Hanayicao melanjutkan pelajarannya ke Universiti Islam Antarabangsa Pakistan. Peluang tersebut telah digunakan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan. Hanayicao menyaksikan bahawa kopiah untuk umat Islam di luar negara lebih cantik dan berfesyen. Tetapi kopiah untuk lebih 20 juta orang umat Islam China hanya berwarna putih dan diperbuat daripada bahan dacron. Beliau berpendapat bahawa perniagaan kopiah yang lebih berfesyen mempunyai masa depan yang cerah di China. "Jumlah umat Islam di China, khususnya di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, Gansu dan Qinghai amat besar. Saya telah mengimport kopiah yang berfesyen dari Pakistan dan Arab Saudi untuk dijual di China."
Hanayicao mula-mula berniaga di Linxia, provinsi Gansu yang disebut sebagai "Mekah di China". Bandar itu didiami ramai umat Islam dan turut menjadi pusat kebudayaan dan ekonomi Islam di China. Kopiah yang dijual oleh Hanayicao telah mendapat sambutan yang baik daripada umat Islam China, khususnya di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang dan provinsi Qinghai. Kejayaan tersebut meletakkan asas yang baik bagi perniagaannya pada masa depan.
Setelah Hanayicao mencapai kejayaan tersebut, terdapat ramai pedagang turut mengimport kopiah dari Pakistan dan Mekah untuk dijual di China. Saingan semakin hebat. Melihat perkembangan itu Hanayicao memutuskan untuk menubuhkan kilang pengeluar kopiah. Katanya, "Kalau saya memiliki sebuah kilang sendiri, kos barang saya akan lebih murah dan daya saingannya akan turut meningkat. Lalu saya memutuskan untuk membuka sebuah kilang pengeluaran barang-barang keperluan Islam di Xunhua, kampung halaman saya."
Pada masa itu, kilang yang baru ditubuhkan oleh Hanayicao kecil sahaja, dengan hanya 5 hingga 6 orang pekerja. Setelah mengadakan kajian tentang barang keperluan Islam yang dikeluarkan dari Indonesia, Hanayicao telah mula mengeluarkan sendiri barang keperluan Islam. Hasil keluarannya telah mendapat sambutan yang baik daripada pengguna Islam di China. Katanya, "90% pengguna di China menganggap barang itu adalah diimport, bukan dihasilkan oleh kilang saya."
Lama-kelamaan, jumlah kelengkapan di kilang Hanayicao telah meningkat kepada lebih 200 buah daripada 2 buah sahaja pada masa lampau. Kopiah yang dihasilkan oleh kilang itu berkualiti tinggi tetapi harganya murah. Daya saing perusahaan Hanayicao semakin meningkat dan barang yang dihasilkan olehnya tersebar meliputi seluruh China. Setelah mencapai kejayaan dalam pasaran China, Hanayicao berazam untuk memasuki pasaran antarabangsa. Katanya, "Pada tahun 2001, saya membuat kunjungan ke Arab Saudi. Bermula masa itu, saya berazam untuk mengeksport barangan yang dihasilkan daripada perusahaan saya ke luar negara."
Arab Saudi dan Bangladesh sudah mengeluarkan kopiah sejak 100 tahun lalu. Hanayicao berusaha meningkatkan kemahiran dan kualiti serta menurun kos pengeluarannya. Beliau dan pakar-pakar berkenaan mencipta teknologi menyulam yang maju. Teknologi tersebut mempunyai hak cipta sendiri dan amat berkesan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti barang dihasilkan daripada kilang Hanayicao.
Dalam tempoh 5 tahun lalu, Syarikat Pakaian dan Komoditi Minoriti Yijia Qinghai Sdn Bhd telah berkembang pesat dan menjadi firma yang terkenal di China. Beliau membina sebuah kilang seluas 34 ribu meter persegi dalam Zon Sains dan Teknologi Xining. Kilang itu mempunyai aset tetap sejumlah 180 juta yuan RMB dengan pekerjanya seramai lebih 3500 orang. Kilang itu menghasilkan 130 ribu kopiah setiap hari. Barang-barang yang dikeluarkan daripada kilang itu dieksport ke Malaysia, Indonesia, Arab Saudi dan Pakistan. Pengarah Bahagian Pengeluaran syarikat Yijia, Ma Youming berkata: "Kami mengeksport 60 juta kopiah ke Arab Saudi pada setiap tahun. Dalam pasaran di Asia Tenggara, Malaysia dan Indonesia menjadi rakan kerjasama yang penting bagi kami. Jumlah eksport kopiah daripada syarikat kami ke Malaysia dijangka mencapai 10 juta pada tahun ini."
Syarikat Yijia yang berkembang pesat telah menyediakan banyak peluang kerja kepada penduduk tempatan. Seorang pegawai syarikat itu, Huang Qingmei berkata: "Pada tahun 2005, saya menganggur. Jadi saya mula bekerja sebagai buruh di syarikat Yijia. Saya bekerja gigih dan bersungguh-sungguh. Akhirnya, dinaikkan pangkat dan menjadi seorang pegawai."
Jumlah keuntungan syarikat Yijia dijangka mencapai 3 hingga 5 bilion yuan RMB dalam tempoh 5 tahun akan datang. Sebagai usahawan Islam yang gemilang, Hanayicao berkata: "Kerajaan dan badan-badan berkenaan telah banyak membantu perusahaan saya dari segi latihan untuk pekerja dan pinjaman. Di provinsi Qinghai, perusahaan saya telah menjadi teladan bagi perusahaan yang dimiliki oleh penduduk etnik minoriti."
------Andika




Tidak ada komentar:

Posting Komentar