Minggu, 07 Februari 2010

Sejarah Penterjemahan Al-Quran di China

Al-Quran menjadi kitab rujukan bagi agama Islam dan mempunyai kedudukan yang paling penting dalam hati umat Islam seluruh dunia. Pada zaman dahulu, ramai ulama menentang penterjemahan Al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa-bahasa yang lain. Mereka bersikap sedemikian kerana bimbang akan penterjemahan Al-Quran yang memutar-belitkan isi kandungannya. Seiring dengan perkembangan agama Islam di seluruh dunia, semakin hari semakin ramai ulama mulai sedar bahawa tanpa penterjemahan Al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa-bahasa yang lain akan menjejaskan umat Islam yang tidak boleh bertutur bahasa Arab untuk mempelajari Al-Quran.

Pada tahun 661 Masihi agama Islam mula berkembang di China. Dalam tempoh masa yang panjang, tidak terdapat terjemahan Al-Quran edisi bahasa Mandarin di China. Kebanyakan imam di China hanya boleh membaca Al-Quran sahaja, namun mereka tidak memahami erti yang berkandung dalam Al-Quran. Pada akhir abad ke-14 dan awal abad ke-15, ramai ulama di China berpendapat bahawa keperluan penterjemahan Al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa Mandarin adalah sangat mustahak dan semakin mendesak. Namun mereka masih bimbang akan penterjemahan Al-Quran yang memutar-belitkan isi kandungannya. Mereka hanya memetik surah-surah tertentu dalam Al-Quran dan menterjemahkannya ke bahasa Mandarin semasa menyampaikan ceramah tentang agama Islam.
Sarjana yang pertama sekali menterjemahkan seluruh isi kandungan kitab Al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa Mandarin di China bernama Tie Zheng. Beliau menterjemahkan Al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa Mandarin berdasarkan Al-Quran edisi bahasa Inggeris dan bahasa Jepun. Namun penterjemahannya agat lengkap dan tepat. Terjemahan Al-Quran edisi bahasa Mandarin yang pertama di China tersebut memainkan peranan penting bagi perkembangan agama Islam di China. Sebelum Tie Zhen menterjemahkan Al-Quran, beliau bukanlah seorang umat Islam. Setelah beliau menyelesaikan penterjemahan Al-Quran edisi bahasa Mandarin tersebut, beliau telah mendapat hidayah lalu memeluk agama Islam.
Al-Quran edisi bahasa Mandarin ke-2 diterbitkan di bandar Shanghai China pada bulan Mac tahun 1931. Seramai 13 orang sarjana menyertai penterjemahan dan penyuntingan Al-Quran edisi tersebut. Edisi itu lebih lengkap dan tepat berbanding Al-Quran edisi bahasa Mandarin yang pertama.
Al-Quran edisi bahasa Mandarin ke-3 diterjemah oleh imam Wang Jingzhai. Al-Quran edisi itu paling popular dalam kalangan umat Islam China dan memainkan peranan yang paling penting bagi perkembangan agama Islam di China.
Imam Wang Jingzhai dilahirkan di Bandar Tianjin pada tahun 1879 dan meninggal dunia pada tahun 1948. Sejak kecil beliau telah mula menimba pelbagai jenis ilmu tentang agama Islam dan fasih bertutur dalam bahasa Arab dan bahasa Parsi. Setelah tamat pengajian daripada kolej agama Islam, Wang Jingzhai yang berumur 26 tahun ketika itu mula menyandang jawatan sebagai imam. Beliau rajin mempelajari bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Hal ini telah meletakkan asas yang baik bagi beliau untuk menterjemahkan Al-Quran pada masa akan datang.
Pada tahun 1922, imam Wang Jingzhai pergi ke Mesir melalui Hong Kong, Singapura dan Mumbai India untuk mengikuti kursus di Universiti Al-Azhar Mesir. Beliau kemudiannya telah menunaikan fardu haji di Mekah dan membuat tinjauan di Turki. Semasa pulang ke tanah air, Wang Jinzhai membawa balik lebih 600 jilid buku tentang agama Islam. Buku-buku tersebut menjadi bahan yang penting bagi beliau untuk menterjemahjkan Al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa Mandarin.
Al-Quran edisi bahasa Mandarin ke-5 diterbitkan oleh imam Yang Jingxiu pada bulan Ogos tahun 1947.
Penterjemahan Al-Quran dari bahasa Arab ke bahasa Mandarin memainkan peranan yang penting dalam sejarah perkembangan agama Islam, sejarah kebudayaan dan sejarah penterjemahan di China. Dengan terbitnya terjemahan Al-Quran dalam bahasa Mandarin, membolehkan kebanyakan umat Islam di China membaca Al-Quran dan memahami isi kandungannya. Setelah Al-Quran diterjemahkan ke bahasa Mandarin, agama Islam telah berkembang dengan lebih pesat dan menjadi lebih popular di China.
----Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar