Minggu, 07 Februari 2010

Usaha Kerajaan Wilayah Autonomi Hui Ningxia Memberi Galakan kepada Kanak-Kanak Perempuan untuk Bersekolah

Setelah China memansuhkan yuran bagi pelajar yang mengikuti pendidikan wajib selama 9 tahun, kerajaan Wilayah Autonomi Hui Ningxia juga berusaha meningkatkan peruntukan terhadap bidang pendidikan di kawasan desa, khususnya untuk pendidikan bagi pelajar perempuan. Kadar kemasukan kanak-kanak perempuan ke sekolah wilayah tersebut semakin meningkat.
Usaha pendidikan untuk pelajar perempuan di Ningxia pada masa dahulu kurang diberi perhatian disebabkan taraf hidup yang rendah serta pandangan tradisi tentang hal tersebut. Kebanyakan perempuan yang berumur melewati 40 tahun di wilayah tersebut hanya lulus sekolah rendah sahaja, malah terdapat sebahagian yang tidak pernah bersekolah.

Li Chunmei merupakan seorang pelajar perempuan di Sekolah Rendah Hui Kaunti Xiji, bandar Guyuan. Ibunya yang sudah berumur lebih 50 tahun berkata, "Pada masa lampau, kegetiran hidup mengakibatkan saya tidak dapat bersekolah. Sekarang, keadaan menjadi lebih baik.Kerajaan sekarang memberikan perhatian yang berat terhadap pendidikan untuk kanak-kanak perempuan."
Bermula pada musim bunga tahun 2006, kerajaan Ningxia paling awal memansuhkan yuran bagi semua pelajar yang mengikuti pelajaran dalam tempoh pendidikan wajib di China. Sejumlah besar kanak-kanak dari keluarga miskin mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar tersebut.
Keluarga Li Chunmei tergolong sebagai miskin. Ayahnya bergaji amat kecil dan dua orang kakaknya terpaksa bekerja di restoran setelah tamat sekolah rendah. Li Chunmei berkata, "Keluarga kami tidak mampu membayar yuran untuk dua orang kakak saya untuk menyambung pelajaran berperingkat menengah. Tetapi sekarang, ibu bapa saya hanya membayar beberapa yuan RMB sahaja pada setiap tahun untuk membeli buku teks untuk saya. Saya berazam belajar dengan bersungguh-sungguh dan selepas tamat belajar akan menjaga orang tua saya dengan baik."
Guru Besar di Sekolah Rendah Hui Kaunti Xiji, tempat Li Chunmei belajar menyatakan, "Pada permulaan tahun 1980-an, sektor pendidikan di kawasan kami masih belum maju. Terdapat ramai ibu bapa yang tidak mementingkan pendidikan untuk anak perempuan menyebabkan ramai yang tidak bersekolah. Pada masa sekarang, kanak-kanak perempuan dapat bersekolah seperti kanak-kanak lelaki. Kadar pelajar perempuan dengan pelajar lelaki di sekolah kami masing-masing mencatat kira-kira 50%."
Setelah kerajaan Ningxia membatalkan yuran untuk pelajar yang mengikuti pendidikan wajib selama 9 tahun, pelajar dari keluarga miskin ini tidak mampu pula membayar yuran di sekolah menengah tinggi dan universiti. Untuk itu, kerajaan berusaha membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, kerajaan Ningxia meningkatkan peruntukan dalam sektor pendidikan vokasional untuk pelajar perempuan agar mereka lebih mudah mendapat peluang kerja setelah tamat persekolahan.
Salah seorang yang sedang mendapat peluang itu, Ma Yanhong, 20 tahun berasal dari kawasan Guyuan yang agak mundur di bahagian selatan Ningxia. Beliau sedang mengikuti kursus senibina di sebuah sekolah vokasional di bandar Yinchuan, ibu kota wilayah tersebut. Beliau berazam untuk belajar dengan rajin agar dapat keluar daripada kemiskinan kelak. Katanya, "Keluarga saya miskin, ibu bapa saya merupakan petani dan adik-beradik saya ramai. Setelah lulus dari sekolah menengah rendah, saya tidak mampu lagi untuk mengikuti pelajaran di sekolah menengah tinggi. Kerajaan memberikan subsidi kepada saya untuk mengikuti pelajaran di sekolah vokasional ini. Setelah tamat dari sekolah tersebut, kerajaan akan membantu saya untuk mencari mendapatkan kerja. Saya pun berazam untuk mempelajari bersungguh-sungguh teknik vokasional di sekolah tersebut."
Mengikuti pelajaran di sekolah vokasional untuk bekerja dengan lebih awal merupakan jalan yang amat sesuai bagi pelajar perempuan. Kerajaan Ningxia juga menyediakan beberapa dasar keutamaan kepada mereka untuk mengikuti pelajaran vokasional. Pegawai daripada Jabatan Pendidikan Bandar Yinchuan, Yang Zeting berkata, "Kami tidak mengenakan sekatan umur terhadap pelajar perempuan etnik Hui yang mengikuti pelajaran vokasional. Maka, pelajar perempuan yang berumur lebih 30 tahun juga boleh mengikuti pelajaran tersebut. Mereka boleh memilih sekolah dan jurusan yang diminati. Selain itu, kerajaan juga menyediakan subsidi dan membatalkan yuran untuk pelajar perempuan etnik Hui dari keluarga miskin."
Sekarang, semakin ramai gadis etnik Hui di Ningxia mengikuti pelajaran dengan rajin dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan. Wang Yunnong dari Sekolah Hui Pertama Guyuan menyatakan penghargaannya terhadap kerajaan yang telah membantunya untuk meneruskan pelajaran. Katanya, "Kerajaan dan tokoh-tokoh yang baik hati membantu saya untuk meneruskan pelajaran. 'Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.' Saya berjanji akan rajin belajar sehingga dapat masuk universiti yang bagus."
------Andika


Tidak ada komentar:

Posting Komentar