Minggu, 07 Februari 2010

Peranan Masjid di Beijing

Pertama, masjid di Beijing merupakan ruang pendidikan untuk umat Islam.
Encik Hu Dengzhou yang berasal dari Xianyang, Provinsi Shaanxi merupakan penaja pendidikan masjid di China. Pada penghujung zaman Dinasti Ming dan awal Dinasti Qing, pendidikan dalam masjid telah mula berkembang pesat di Beijing. Pendidikan di masjid dibahagikan kepada 3 peringkat, iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti. Ulama dan imam masjid berkhidmat sebagai guru dan pensyarah. Penginapan, makanan dan yuran persekolahan penuntut tersebut ditanggung oleh pihak masjid.

Setelah memasuki zaman moden, sekolah di masjid telah menyediakan kurikulum seperti bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, matematik, sejarah, geografi dan lain-lain serta menyampaikan buku teks bahasa Arab. Masjid di Beijing telah menjadi ruang kepada umat Islam untuk mempelajari ilmu agama Islam serta ilmu zaman moden. Ahli pendidikan yang terkenal di China, Encik Wang Haoran, Wang Youhe dan Da Pusheng telah menubuhkan Sekolah Perguruan Hui di Masjid Niujie, iaitu masjid yang tertua di Beijing yang dibina pada tahun 1907 dan sekolah rendah Islam di Masjid Lorong Shoupa pada tahun 1907. Pada tahun 1929, Sekolah Perguruan Chengda yang ditubuhkan oleh Ma Songting telah dipindahkan dari Jinan, Provinsi Shandong ke Masjid Dongsipailou. Sebelum Republik Rakyat China (PRC) ditubuhkan, masjid di Beijing merupakan ruang kepada remaja Islam untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang. Masjid di Beijing telah mendidik ramai imam. Pada tahun 1949, Institut Etnik Hui Beijing telah ditubuhkan. Hal tersebut melambangkan bahawa pendidikan Islam yang moden telah dibentuk secara rasmi di Beijing.
Kedua, masjid di Beijing telah memainkan peranan yang penting untuk mengembangkan ekonomi umat Islam.
Pada zaman dahulu, sumber pembiayaan untuk masjid hanyalah bergantung kepada sedekah daripada umat Islam. Pihak masjid akan mengumumkan jumlah sedekah daripada pelbagai umat Islam di ruang masjid. Setelah China mengamalkan dasar pembaharuan dan buka pintu, pelbagai masjid di Beijing telah berusaha mengembangkan ekonomi. Masjid-masjid di Beijing telah membuka hotel Islam, restoran Islam, kedai barang-barang keperluan hidup umat Islam, tadika, perusahaan dan lain-lain. Misalnya, Masjid Dongsi di Beijing telah membuka kedai daging halal dan kedai barang-barang Islam. Masjid Niujie yang tertua di Beijing telah membuka kedai barang-barang keperluan Islam. Masjid Mendougou telah membuka restoran Islam. Masjid Shijinfang telah membuka restoran Islam, hotel Islam dan kedai barang-barang Islam. Masjid Dewai telah membuka kedai daging kambing dan lembu halal, tadika Islam dan kedai barang-barang Islam. Persatuan Islam Daerah Xicheng telah menubuhkan barisan pembinaan. Kebanyakan masjid daripada lebih 60 buah masjid di Beijing telah menubuhkan perusahaan sendiri. Pembiayaan masjid bukanlah hanya bergantung kepada sedekah daripada umat Islam dan peruntukan daripada kerajaan. Selain itu, perusahaan yang ditubuhkan oleh masjid di Beijing telah menyediakan peluang pekerjaan kepada umat Islam. Masjid-masjid tersebut telah menggunakan pendapatan daripada perusahaannya untuk mengembangkan agama Islam serta membantu orang yang hidup susah. Masjid-masjid di Beijing telah memainkan peranan yang penting untuk mengembangkan ekonomi umat Islam.
Ketiga, masjid di Beijing merupakan jambatan persahabatan antara umat Islam China dengan umat Islam di seberang laut.
Masjid-masjid di Beijing bukan sahaja merupakan rumah kepada umat Islam pelbagai etnik di China, namun juga merupakan rumah kepada umat Islam dari pelbagai negara di dunia.
Beijing merupakan metropolitan yang amat terkenal di dunia. Terdapat ramai umat Islam dari pelbagai negara asing belajar dan bekerja di Beijing. Mereka selalu menyertai pelbagai aktiviti keagamaan yang diadakan oleh umat Islam Beijing. Selain itu, Beijing mempunyai beberapa buah masjid yang terkenal di seluruh dunia. Masjid-masjid tersebut telah menjadi pusat pertukaran antara umat Islam China dengan umat Islam negara asing. Masjid Niujie dan Masjid Dongsi merupakan dua buah masjid yang paling terkenal di Beijing. Kedua-dua buah masjid tersebut selalunya menerima kunjungan umat Islam dari negara luar. Berdasarkan statistik daripada Persatuan Islam Beijing, pada tahun 1979 hingga tahun 1989, masjid-masjid di Beijing telah menerima kunjungan seramai 100 ribu orang umat Islam dari pelbagai negara. Terdapat 22 ribu orang umat Islam dari dalam dan luar negara menunaikan solat berjemaah sempena hari kebesaran Islam. Statistik tersebut telah menunjukkan bahawa masjid-masjid di Beijing telah menjadi pusat pertukaran antara umat Islam dari dalam dan luar negara.
Dan Keempat, masjid-masjid di Beijing menjadi pembawa dan pembentuk kebudayaan dari dalam dan luar negara China.
Pembudayaan masjid di Beijing mempunyai kepelbagaian, termasuk agama, adat resam, makanan dan minuman, hasil sains dan teknologi, seni bina, peninggalan sejarah, kesenian tulisan, pendidikan dan lain-lain. Masjid-masjid di Beijing telah menggabungkan kebudayaan dari dalam dan luar negara. Misalnya, terdapat sejenis komponen pembinaan bangunan di masjid Beijing, bentuknya seperti kepala naga, namun tidak terdapat ukiran mata pada benda tersebut. Ini kerana masjid-masjid di Beijing telah mewarisi seni bina tradisional China seperti menggunakan patung binatang. Namun menurut syariat Islam, tidak boleh terdapat patung binatang di dalam masjid. Itulah sebabnya patung itu tidak diukirkan mata dan dianggap bukan sebagai patung binatang yang sebenar.
Terdapat juga banyak kitab al-Quran tulisan tangan bersejarah yang ditulis dengan menggunakan dua jenis bahasa, iaitu bahasa Mandarin dan bahasa Arab disimpan dalam masjid-masjid di Beijing. Misalnya, terdapat sebuah kitab al-Quran tulisan tangan yang telah bersejarah lebih 700 tahun disimpan di Masjid Dongsi Beijing. Oleh sebab itu, masjid-masjid di Beijing telah menjadi pembawa dan pembentuk kebudayaan dari dalam dan luar negara China.
Pembudayaan masjid di Beijing amat meluas dan penuh kepelbagaian. Pembudayaan tersebut melibatkan bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan, seni bina, kesenian, kebudayaan, seni tulisan, sistem masyarakat, cara hidup dan lain-lain. Pada masa sekarang, pembudayaan masjid di Beijing berkembang dengan lebih pesat.

Penulis:Andika




Tidak ada komentar:

Posting Komentar