Minggu, 07 Februari 2010

Pengajaran Bahasa Parsi di China

Bahasa Parsi merupakan bahasa kebangsaan bagi Iran dan Afghanistan. Terdapat pula ramai penduduk di negara-negara Asia tengah dan kawasan Timur Dekat bertutur dalam bahasa Parsi. Jumlah penduduk yang bertutur bahasa Parsi di seluruh dunia mencapai lebih 50 juta orang. Setelah China menganggotai Pertubuhan Perdagangan Sedunia(WTO), perdagangan luar China semakin berkembang dengan pesat. Tenaga profesional yang boleh bertutur bahasa Parsi mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat China. Pada tahun 2004, laman web www.sina.com.cn yang terkenal di China menyenaraikan bahasa Parsi sebagai salah satu jurusan yang mendapat sambutan baik di China.

Setelah wujud Laluan Sutera, maka orang Parsi yang datang ke China semakin hari semakin ramai. Orang Parsi telah memberikan pengaruh yang mendalam kepada masyarakat China pada zaman Dinasti Tang. Sehingga zaman Dinasti Yuan, bahasa Parsi telah menjadi salah satu bahasa rasmi di China. Bahasa Parsi semakin hari semakin popular dalam kalangan umat Islam di China dan menjadi salah satu bahasa untuk menyampaikan ilmu agam Islam di masjid-masjid di China. Oleh sebab itu, bahasa Parsi telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan agama Islam di China. Namun penyampaian ilmu agama Islam di masjid-masjid di China hanyalah menggunakan bahasa lisan. Ramai imam di China membaca karya dalam bahasa Parsi atau Arab dengan menggunakan ejaan bahasa Mandarin. Pengajaran bahasa Parsi di China adalah kurang asli dan kurang tepat.
Setelah PRC ditubuhkan pada tahun 1949, hubungan diplomatik dan persahabatan antara China dengan pelbagai negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin semakin hari semakin erat. Universiti Peking pada tahun 1957 telah menerima kelas bahasa Parsi yang pertama di China, sejak itu, pengajaran bahasa Parsi di China mula dijalankan secara rasmi.
Kini, jurusan bahasa Parsi di Universiti Peking mempunyai 2 orang profesor madya, seorang pensyarah serta 9 orang mahasiswa. Setakat ini. Jurusan itu telah mendidik lebih kurang 200 orang tenaga profesional bahasa Parsi, termasuklah untuk peringkat diploma, ijazah sarjana, dan ijazah kedoktoran. Jurusan bahasa Parsi Universiti Peking menyediakan kuliah bahasa Parsi-Iran dan sejarah serta kebudayaan Iran. Serentak dengan itu, jurusan tersebut juga menyediakan ko-kurikulum bahasa Parsi agar semua mahasiswa pelbagai fakulti di universiti itu mempunyai peluang untuk mempelajari bahasa Parsi Ini memainkan peranan penting untuk mempopularkan bahasa Parsi dalam pelbagai kalangan masyarakat China.
Pada tahun 1984, Profesor Zeng Yanshen daripada Universiti Peking telah menyunting buku teks bahasa Parsi yang rasmi. Hal ini meletakkan asas yang baik bagi pengajaran bahasa Parsi di China.
Bermula pada tahun 2001, Kementerian Pendidikan China telah menyediakan peruntukan kepada jurusan bahasa Parsi Universiti Peking untuk menghantar mahasiswanya belajar di Iran. Ini memainkan peranan penting untuk meningkatkan kemahiran penuntut-penuntut dalam jurusan itu.
Universiti Peking dengan bantuan kerajaan China dan Kedutaan Besar Iran di China mengadakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kemahiran mahasiswa jurusan bahasa Parsi, seperti "Seminar Bahasa dan Sastera Parsi", "Seminar Pengajian Ilmu Iran di China" dan lain-lain.
Iran telah menyanjung tinggi pengajaran bahasa Parsi di China. Beberapa profesor jurusan bahasa Parsi di China telah dianugerahkan hadiah sarjana yang memberikan sumbangan besar terhadap pertukaran kebudayaan China-Iran oleh Presiden Iran, Seyyed Mohammad Khatami pada tahun 2000. Profesor Zhang Hongnian daripada Universiti Peking telah memperoleh hadiah sastera daripada Pusat Pengajian Bahasa Parsi Universiti Antarabangsa Teheran. Pada tahun 2005, Zhang Hongnian dan 2 orang profesor China pula dianugerahkan hadiah sumbangan yang besar terhadap bahasa dan sastera Parsi oleh kerajaan Iran.
Setelah Universiti Peking menubuhkan jurusan bahasa Parsi pada tahun 1957, pelbagai universiti di China juga turut menyediakan jurusan bahasa Parsi untuk memenuhi permintaan masyarakat China terhadap tenaga profesional bahasa Parsi. Universiti Pengajian Bahasa Asing Shanghai pada tahun 1996 juga telah menubuhkan jurusan bahasa Parsi. Universiti Media Massa Beijing menubuhkan jurusan bahasa Parsi pada tahun 1998. Selain itu, Universiti Etnik Pusat China, Universiti Xinjiang, Akademi Sosial Xinjiang dan Universiti Ningxia China pula menyediakan kursus bahasa Parsi jangka pendek. Pakar bahasa Parsi di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China menggunakan bahasa Parsi untuk mengkaji masalah etnik, dan peranan Laluan Sutera dalam sejarah, sejarah hubungan China-Iran dan lain-lain.
----Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar