Minggu, 07 Februari 2010

Masjid Shuncheng di Bandar Kunming China

Bandar Kunming merupakan ibu kota provinsi Yunnan yang terletak di bahagian barat daya China. Terdapat penduduk dalam pelbagai etnik termasuk sejumlah besar penduduk etnik Hui yang beragama Islam mendiami bandar tersebut. Daerah Shuncheng merupakan kawasan kediaman secara berkelompok penduduk etnik Hui. Di sana terdapat banyak bangunan yang bercirikan seni bina Islam, umat Islam yang memakai pakaian bercirikan etnik Hui serta kedai Islam di daerah tersebut. Masjid Shuncheng, masjid yang terbesar di bandar Kunming turut terletak di daerah tersebut.

Masjid Shuncheng merupakan sebuah masjid yang bersejarah dan merupakan masjid yang terbesar di bandar Kunming. Masjid itu mula dibina pada tahun 1425 Masihi. Pada abad ke-19, umat Islam tempatan telah membaik pulih dan memperluas masjid tersebut. Encik Ma Chongwen merupakan bekas Guru Besar yang berkhidmat di Sekolah Menengah Mingde, sekolah Islam yang terkenal di Kunming. Beliau juga merupakan tokoh yang tersohor dalam kalangan ilmuwan Islam di bandar Kunming malah di seluruh provinsi Yunnan. Semasa menyentuh tentang sejarah Masjid Shuncheng, Encik Ma Chongwen berkata: "Masjid Shuncheng telah bersejarah lebih 580 tahun. Masjid itu telah beberapa kali dibaik pulih sejak ditubuhkan. Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan, masjid tersebut telah dibaik pulih secara besar-besaran yang bermula pada tahun 2001 hingga tahun 2004."
Masjid Shuncheng seluas 5441 meter persegi. Terdapat beberapa buah kedai barangan Islam terletak di tempat yang berhampiran dengan pintu masuk ke masjid tersebut. Pintu masuk masjid Shuncheng merupakan sebuah pintu gerbang yang bertingkat dua. Pejabat masjid terletak di sebelah kiri pintu tersebut dan di sebelah kanannya ialah bilik kuliah. Terdapat sebuah tugu yang terletak di depan dinding sebelah kiri masjid tersebut. Pada tugu itu tercatat nama tokoh-tokoh Islam yang menyumbangkan derma untuk pembinaan masjid itu. Terdapat juga dua buah papan hitam yang memperkenalkan kitab al-Quran dan undang-undang negara yang terletak di depan dinding sebelah kanan. Ruang bersolat di masjid tersebut merupakan sebuah bangunan bertingkat dua. Tingkat satu merupakan restoran Islam manakala tingkat kedua bangunan tersebut merupakan tempat bersembahyang. Kedua-dua tingkat tersebut masing-masing seluas lebih 700 meter persegi. Terdapat sebuah koridor sepanjang 4 meter yang terletak di depan tempat bersolat tersebut.
Encik Ma Chongwen berkata: "Ruang bersolat di masjid kami telah mewarisi seni bina Islam tradisional China. Masjid kami telah disenaraikan sebagai salah satu peninggalan sejarah yang penting di Daerah Wuhua bandar Kunming."



Tidak ada komentar:

Posting Komentar