Minggu, 07 Februari 2010

Pakaian untuk Penduduk Etnik Hui di Wilayah Ningxia China yang Kian Berfesyen

Penduduk etnik Hui China mempunyai pakaian tradisional yang unik dan cantik. Bagaimanapun dengan pembangunan sosioekonomi dan peningkatan taraf hidup, pakaian untuk penduduk etnik Hui di wilayah Ningxia menjadi lebih berfesyen dan menarik.
Perkembangan zaman tidak dapat menghalang perkara ini berlaku malah di sekolah-sekolah agama perempuan. Di Sekolah Muslimah China-Arab Masjid Utara Kaunti Tongxin, Bandar Wuzhong, penuntut-penuntut wanita memakai jubah dan tudung yang berwarna terang dan kelihatan menarik.

Seorang penuntut, Ding Weiwei, 16 tahun berkata: "Kami membeli pakaian sendiri. Sekolah juga menyediakan pakaian seragam untuk kami. Terdapat kedai pakaian Islam di kawasan kami yang menyediakan pakaian dalam berbagai-bagai bentuk dan fesyen."
Dua orang penuntut daripada sekolah itu, Ma Cuizhi dan Zong Haimei menyatakan bahawa pakaian Islam untuk mereka pada masa sekarang jauh lebih baik berbanding dengan pakaian yang digunakan oleh ibu mereka pada masa lampau. Kata mereka, "Pada masa dahulu, ibu saya memakai pakaian yang berwarna hitam dan kain yang berkualiti rendah. Sekarang, pakaian kami berwarna terang dengan kain yang berkualiti."
Ma Denglan, 40 tahun, dari pekan Sanying, bandar Guyuan berkata, "Pada masa dahulu, tudung kepada wanita diperbuat daripada bulu kambing. Tudung itu terasa berat memakainya dan warnanya kurang terang dan pudar. Pada masa sekarang, tudung kami diperbuat daripada sutera yang ringan dan berwarna-warni."
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup, penduduk etnik Hui di Ningxia memberi perhatian yang lebih terhadap kualiti dan fesyen pakaian mereka. Ma Denglan berkata, "Golongan muda pada masa sekarang amat suka memakai pakaian yang cantik dan berfesyen. Ketika ke masjid untuk solat berjemaah pada pukul 6.00 petang, saya selalu melihat ramai muslimah yang memakai pakaian berfesyen dan cantik."
Ketua pereka bentuk Syarikat Pakaian Fanghua Yingchuan, Chen Huifang berkata: "Terdapat ramai penduduk etnik Hui suka memakai pakaian tradisional. Tetapi pakaian tradisional etnik Hui yang berada dalam pasaran pada masa sekarang bercorak lama dan kurang berfesyen. Terdapat ramai pelanggan muslimah meminta saya untuk mereka bentuk fesyen pakaian yang menggabungkan ciri-ciri tradisional Islam. Saya juga berusaha mereka bentuk pakaian Islam yang berfesyen untuk mereka."
Chen Huifang menyatakan bahawa ciri-ciri tradisional etnik dan agama amat penting dalam reka bentuk pakaian untuk penduduk etnik Hui. Katanya, "Saya tekun membuat kajian tentang warna dan fesyen pakaian etnik Hui. Saya selalu berbual-bual dengan golongan muslimah etnik Hui dan mendapatkan pandangan mereka terhadap bentuk-bentuk pakaian yang sesuai. Selain itu, saya juga meminta nasihat daripada imam dan sarjana Islam tentang kesenian reka bentuk pakaian untuk penduduk etnik Hui."
Syarikat pengeluar pakaian etnik Hui di Ningxia berusaha mengadakan pembaharuan dan inovasi terhadap produk mereka agar pakaian untuk penduduk etnik Hui lebih sesuai dengan fesyen moden. Naib Ketua Pengarah Kumpulan Pembuatan Pakaian Hongqi Ningxi berkata: "Syarikat pengeluar pakaian etnik Hui perlu menyediakan produk yang menggabungkan ciri-ciri tradisional dengan fesyen yang moden pada masa sekarang."
Produk daripada syarikat-syarikat tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada pengguna etnik Hui. Malahan, pakaian yang direka bentuk oleh syarikat Fanghua dan Hongqi itu, telah memperoleh anugerah dalam pesta tarian dan pakaian etnik Hui kebangsaan yang diadakan pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Ruang Pameran Makanan Halal dan Barang Penggunaan Islam Yinchuan, Ma Baoyu menyatakan bahawa pasaran pakaian etnik Hui mempunyai masa depan yang cerah. Katanya, "Pakaian yang direka bentuk untuk penduduk etnik Hui pada masa sekarang amat cantik dan berfesyen. Saya berharap lebih ramai penduduk etnik Hui dapat kelak memakai pakaian yang cantik dengan pelbagai fesyen untuk menunjukkan keunikan dan kemurnian etnik tersebut."

Penulis: Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar