Minggu, 07 Februari 2010

Sumbangan Umat Islam Terhadap Perkembangan Sains dan Teknologi Di China

Umat Islam telah menetap di wilayah China sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Jumlah umat Islam China mencapai hampir 30 juta orang. Mereka tinggal di pelbagai tempat China. Umat Islam dan rakyat bukan Islam di China bersatu padu, rajin bekerja dan telah memberi sumbangan yang besar terhadap tamadun China, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Yang pertama, umat Islam telah memberi sumbangan besar terhadap ilmu falak dan kalender di China. Pada tahun 1267 Masihi, umat Islam dari negara Arab telah memperkenalkan ilmu falak dari Arab kepada China.

Mereka telah menubuhkan balai cerap di Beijing yang dilengkapi dengan 7 jenis alat kaji angkasa yang jitu dan canggih. Alat-alat tersebut telah melambangkan taraf ilmu falak yang paling maju dari dunia Islam pada zaman itu. Glob yang dicipta oleh pakar Islam pada zaman itu merupakan glob yang paling awal terdapat di China. Pada tahun 1271, maharaja China Kublai Kham menubuhkan balai cerap Islam bagi membentuk kalender Islam dan menerima pelbagai buku dari negara Arab tentang ilmu falak dan kalender. Balai cerap tersebut merupakan pusat kajian ilmu falak Arab di China pada abad ke-13 dan abad ke-14. Ilmu falak dan kalender dari dunia Arab telah memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan China dalam bidang tersebut.
Matematik merupakan asas ilmu falak. Matematik dari negara Arab juga turut diperkenalkan ke China seiring dengan peredaran kalender Arab pada zaman itu. Pakar-pakar China mengembangkan matematik dengan pesat berasaskan matematik dari negara Arab.
Kedua, umat Islam di China amat pandai dalam bidang perubatan. Di samping memperkenalkan perubatan tradisional China ke Eropah malah seluruh dunia, mereka juga turut memperkenalkan perubatan dunia Arab ke China.
Pada zaman Dinasti Yuan, kerajaan China telah menubuhkan bahagian yang khusus bertanggungjawab atas perubatan Islam. Berdasarkan catatan pada zaman itu, perubatan Islam boleh merawat 120 jenis penyakit. Ilmu perubatan dari dunia Arab yang diperkenalkan ke China telah menjadi bahagian yang penting dalam perubatan tradisional China.
Ketiga, umat Islam dari negara Arab telah memperkenalkan reka bentuk seni bina dunia Arab kepada China. Pada zaman Dinasti Tang dan Dinasti Song, umat Islam dari negara Arab dan Parsi telah bermastautin ke China. Mereka telah membina pelbagai masjid yang terkenal di China, seperti Masjid Huaisheng di Bandar Guangzhou, Masjid Qingjing di Bandar Quanzhou, Masjid Cenderawasih di Bandar Hangzhou dan lain-lain. Reka bentuk seni bina masjid-masjid tersebut telah memberi pengaruh yang mendalam terhadap pembinaan tokong dan balairung di China. Di kawasan kediaman umat Islam di China, juga terdapat banyak bangunan yang mempunyai ciri seni bina Arab.
Keempat, umat Islam di China amat pandai membuat senjata. Umat Islam China menggunakan teknologi dari negara Arab untuk membuat sejenis meriam yang menggunakan batu besar sebagai pelurunya. Pada tahun 1273, meriam tersebut telah memainkan peranan penting dalam satu peperangan yang terkenal dalam sejarah China. Setelah tamat peperangan tersebut, maharaja China telah menubuhkan bahagian yang khusus untuk umat Islam China membuat meriam. Meriam tersebut juga menjadi terkenal di China dalam tempoh waktu yang panjang.
Kelima, umat Islam China pada zaman dahulu telah mencapai kejayaan yang besar dalam bidang geografi. Bermula pada tahun 1269, maharaja China melantik pakar-pakar Islam menyunting catatan geografi China. Catatan geografi tersebut terdiri daripada 600 jilid buku yang disunting selama 18 tahun. Catatan itu merupakan catatan geografi pihak kerajaan yang pertama dalam sejarah China.
Umat Islam China juga amat pandai dalam teknik pelayaran. Pada zaman dahulu, saudagar dari negara Arab dan Parsi telah menggunakan teknik pelayaran yang maju untuk berdagang antara dunia Arab dengan pelbagai negara di Asia dan Afrika.
Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia Tenggara merupakan kejayaan yang terkenal di China malah di seluruh dunia. Cheng Ho merupakan seorang umat Islam di China. Peta pelayaran laut yang disunting oleh Laksamana Cheng Ho merupakan peta pelayaran laut yang paling awal di China. Ma Huan, seorang pengiring dalam pelayaran laksamana Cheng Ho merupakan seorang umat Islam di China. Beliau telah mencatat tentang geografi, barangan hasil bumi, iklim, adat resam, agama dan lain-lain di lebih 20 buah negara yang dikunjungi oleh Laksamana Cheng Ho.
Dan keenam, umat Islam telah mengembangkan pertanian di China. Umat Islam China pada zaman dahulu secara beramai-ramai meneroka tanah tandus untuk pertanian. Mereka juga memperkenalkan pelbagai jenis hasil pertanian dari negara Arab untuk ditanam di China, seperti beberapa jenis buah-buahan, kapas, kacang dan lain-lain.
----Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar