Minggu, 07 Februari 2010

Kitab Suci Al-Quran Tulisan Tangan yang Paling Bersejarah di China Telah Dirawat

Di Kaunti Autonomi Etnik Salar Xunhua Provinsi Qinghai di bahagian barat China, terdapat kitab al-Quran tulisan tangan yang paling lama di China. Oleh sebab sejarahnya terlalu lama, maka tulisan yang terdapat pada kitab al-Quran itu telah kurang jelas. Tidak lama dahulu, kitab al-Quran itu telah berjaya dirawat oleh pakar China.

Kaunti Autonomi Etnik Salar Xunhua merupakan kawasan kediaman secara berkelompok bagi penduduk etnik Salar. Jumlah penduduk etnik Salar di kawasan tersebut mencapai 700 ribu hingga 800 ribu orang, mereka amat taat akan agama Islam.
Menurut riwayat, pada lebih 700 tahun dahulu, nenek moyang penduduk etnik Salar telah berhijrah dari kawasan Asia Tengah. Semasa melalui kawasan Xunhua, mereka telah menyaksikan bahawa tanah di kawasan itu agak datar, air sungainya amat jernih dan hutan di sana juga agak hijau. Lantas apabila mereka telah tiba di sebuah mata air, air mata air itu sangat sedap rasanya. Unta yang dibawa oleh mereka telah berehat di sebelah mata air itu. Tiba-tiba, bonggol unta tersebut telah menjadi batu putih, terdapat sebuah kitab al-Quran yang terletak di atas batu putih tersebut. Nenek moyang penduduk etnik Salar itu berasa sangat terharu, mereka memutuskan untuk mendiami di kawasan itu.
Kitab Al-Quran yang disimpan di Xunhua tersebut termasuk 2 buah kitab yang setiap satunya mengandungi 30 juzuk. Kulit kitab tersebut diperbuat daripada kulit badak sumbu dan dilukis dengan gambar yang cantik. Kitab al-Quran itu mengandungi 867 helai dan ditulis dalam tulisan Arab. Kitab al-Quran tersebut seberat lebih 12 kilogram.
Pada tahun lalu, kumpulan pakar China telah mengadakan kajian tentang kitab al-Quran tulisan tangan tersebut. Menurut keputusan kajian, kitab al-Quran itu telah ditulis pada abad ke-8 hingga abad ke-13 dan merupakan kitab al-Quran yang bersejarah paling lama di China. Pakar adat resam etnik Salar provinsi Qinghai, Encik Han Zhanxiang menyatakan bahawa kitab al-Quran tersebut mempunyai kedudukan yang amat suci dalam dunia Islam. Beliau berkata: "Terdapat 3 buah kitab al-Quran seperti itu di seluruh dunia dan masing-masing disimpan di Rusia, Britain dan China. Kitab al-Quran yang mewakili seluruh umat Islam China tersebut telah dipamerkan di Pameran kitab Suci Islam Sedunia yang diadakan di Syria pada tahun 1954. Pada tahun 1962, kitab al-Quran itu telah dipamerkan di Iran."
Oleh sebab kitab al-Quran itu telah bersejarah lebih 700 tahun. Kertasnya telah rosak atau digigit oleh umat. Kulit kitab tersebut yang diperbuat daripada kulit badak sumbu telah menjadi keras dan pecah. Kebanyakan tulisan dalam kitab itu telah menjadi kabur.
Kerajaan China telah memberi perhatian yang tinggi untuk melindungi kitab al-Quran tersebut. Jabatan Artifak Budaya Negara China telah memperuntukkan 1.5 juta yuan RMB untuk melindungi kitab al-Quran tersebut. Baru-baru ini, pakar artifak China, Encik Xi Sancai telah mengetuai beberapa orang pakar daripada Muzium Nanjing merawat kitab al-Quran tersebut. Encik Xi Sancai berkata: "Oleh sebab kitab al-Quran itu sangat berharga, kami pernah bekerja dengan amat berhati-hati dan dengan sedaya upaya cuba memelihara bentuk asalnya."
Oleh sebab hubungan antara kitab al-Quran itu dengan penduduk etnik Salar agak rapat, maka kerajaan China telah memutuskan untuk menyimpan kitab al-Quran itu di tempat asalnya. Pengarah Jabatan Agama kaunti Xunhua, Encik He Yunzhong berkata:
"Hubungan antara sejarah etnik Salar dengan kitab al-Quran itu sangat rapat. Kitab al-Quran itu telah menjadi bahagian yang penting bagi penduduk etnik Salar. Kitab al-Quran itu disimpan di tempat kami untuk menjaga perasaan penduduk etnik Salar."
Pada masa sekarang, kitab al-Quran yang telah dirawat tersebut disimpan dalam Muzium Al-Quran di kaunti autonomi etnik Salar Xunhua provinsi Qinghai yang baru selesai dibina. Kitab al-Quran itu disimpan di dalam sebuah peti keselamatan yang diperbuat daripada kaca untuk membolehkan umat Islam menyaksikannya. Selain itu, pakar-pakar China akan secara berterusan merawat kitab al-Quran tersebut serta menggunakan teknologi yang maju untukmembuat salinan sebuah kitab al-Quran itu.
Encik Xi Sancai berpendapat bahawa projek merawat kitab al-Quran tersebut telah memainkan peranan yang penting untuk mengkaji sejarah dan asal usul etnik Salar serta kajian tentang kebudayaan masyarakat Islam di seluruh dunia. Beliau berkata: "Perlindungan kitab al-Quran tersebut akan memainkan peranan yang penting bagi mengkaji sejarah, proses penghijrahan, agama dan kebudayaan etnik Salar."
Selain itu, perawatan kitab al-Quran itu menandakan bahawa penduduk etnik Salar akan mewarisi budaya tradisionalnya.

Penulis: Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar