Minggu, 07 Februari 2010

Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan, Presiden Persatuan Islam China

Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan, Presiden Persatuan Islam China Menulis Ayat Suci Al-Quran dengan Tulisan Tangan.Al-Quran yang mengandungi lebih 300 ribu perkataan merupakan kitab paling suci bagi umat Islam seluruh dunia. Artis Islam China telah mengukir ayat-ayat suci Al-Quran pada 528 buah papan batu, papan batu tersebut akan dipamerkan ke pelbagai negara Islam di seluruh dunia. Catatan ayat suci al-Quran pada papan batu, biasanya diukir dengan tulisan tangan. Penulis ayat suci al-Quran dengan tulisan tangan tersebut bernama Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan. Beliau telah berumur kira-kira 70 tahun merupakan Anggota Jawatankuasa Kebangsaan ke-10 Majlis Permesyuaratan Politik Rakyat China (CPPCC) yang juga Presiden Persatuan Islam China.

Tidak baru-baru ini, beliau telah menyertai sidang tahunan CPPCC di Beijing. Semasa menyentuh tentang perkara itu, Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan berkata: "Pada asalnya, seorang artis Islam China telah meminta saya untuk menulis ayat suci al-Quran dengan tulisan tangan. Walaupun saya agak sibuk dengan tugas, namun, saya berpendapat bahawa tugas ini amat suci dan secara tidak langsung boleh mengembangkan syiar agama Islam. Saya telah memutuskan untuk menerima tugas ini."
Bermula pada tahun 2002 hingga tahun 2006, Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan telah selesai menulis ayat suci al-Quran dengan tulisan tangan dalam tempoh lebih 4 tahun. Beliau telah mengatasi pelbagai kesukaran untuk menyelesaikan kerja tersebut. Encik Man Hengfa yang berkhidmat di Masjid Dongsi Beijing sangat kagum dengan kecemerlangan hasil kerja Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan tersebut. Beliau berkata: "Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan menyelesaikan kerja tersebut dalam tempoh lebih 4 tahun. Dalam tempoh lebih 4 tahun tersebut, beliau tidak menghiraukan sama ada cuaca panas atau sejuk dan tidak pernah mengambil cuti."
Kerja ini amat sukar bagi seorang warga emas. Semasa menulis ayat suci al-Quran dengan tulisan tangan, beliau kerap menghidap sakit mata atau sakit bahu. Namun beliau berazam untuk menyempurnakan tugas tersebut.
Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan menyatakan bahawa penulisan ayat suci al-Quran dengan tulisan tangan merupakan kerja yang agak halus. Ini kerana ayat suci al-Quran tidak boleh disalah tulis. Beliau berkata: "Kadang-kadang, kalau terdapat satu huruf tersalah tulis, saya harus menulis satu muka surat ayat Al-Quran semula."
Akhirnya, Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan telah menjayakan tugasnya dengan kegigihan. Artis Islam lain telah mengukir ayat suci al-Quran yang ditulis tangan oleh beliau pada 528 buah papan batu. Setiap papan batu tersebut panjangnya satu meter, lebarnya 50 sentimeter dan tebalnya 3 sentimeter. Kesemua 528 buah papan batu tersebut luasnya 264 meter persegi dan beratnya kira-kira 26 tan.
Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan sangat bangga dengan kejayaannya tersebut. Beliau berkata: "Ukiran batu ayat suci al-Quran tersebut akan memainkan peranan yang penting untuk mengembangkan syiar agama Islam. Ini kerana perkara sebegini tidak pernah terjadi di mana-mana negara di dunia."
Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan menyatakan bahawa ukiran batu ayat suci al-Quran tersebut telah menarik perhatian yang tinggi daripada umat Islam dari luar negara. kebanyakan negara Islam di dunia tidak pernah mempunyai ukiran batu ayat suci al-Quran seperti itu. Oleh itu, umat Islam di China amat berbangga dengan keberhasilan usaha tersebut. Encik Man Hengfa yang berkhidmat di Masjid Dongsi Beijing menyatakan bahawa sebahagian daripada ukiran batu Al-Quran tersebut disimpan di dalam Masjid Dongsi. Natijahnya masjid itu semakin hari menjadi semakin terkenal. Encik Man Hengfa berkata: "Ukiran Batu ayat suci al-Quran tersebut dianggap sebagai barang paling berharga yang disimpan di dalam masjid kami. Ukiran itu menjadikan masjid kami sebagai pusat agama Islam di seluruh China."
Anggota Majlis Permesyuaratan Politik Rakyat China, Liu Xiuchen juga merupakan seorang umat Islam. Beliau telah mengenali Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan selama lebih 20 tahun. Encik Liu Xiuchen menyatakan bahawa beliau merupakan salah seorang tokoh yang mempunyai kewibawaan yang tinggi dalam bidang agama Islam di China. Tahap ilmu agamanya amat tinggi. Menulis Al-Quran dengan tulisan tangan merupakan kejayaan yang amat mengagumkan. Usaha tersebut dapat memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan agama Islam dan mendorong perkembangan agama Islam di China yang kini sedang berusaha untuk menubuhkan masyarakat harmoni. Beliau berkata: "Usaha itu telah memperkenalkan agama Islam di China, dan juga membuktikan bahawa kerajaan China tetap menaruh perhatian yang tinggi terhadap agama dan etnik minoriti. Kejayaan Alhaji Xilalunzheng Chen Guangyuan tersebut merupakan salah satu kecemerlangan dalam pembangunan masyarakat harmoni sosialisme di China."

Penulis : Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar