Minggu, 07 Februari 2010

Taman Kebudayaan Etnik Hui Ningxia

Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia yang terletak di bahagian barat laut China. Wilayah tersebut merupakan satu-satunya kawasan kediaman secara berkelompok peringkat provinsi bagi penduduk etnik Hui di China. Taman Kebudayaan Etnik Hui diwujudkan sebagai warisan etnik yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Ia merupakan satu-satunya tempat untuk mengetahui mengenai kebudayaan dan adat resam etnik Hui di China. Pegawai taman itu, Lei Runze berkata: "Lebih 2.1 juta penduduk etnik Hui tinggal di Ningxia, kawasan kediaman secara berkelompok bagi penduduk etnik tersebut. TErdapat kira-kira 10 juta orang penduduk etnik Hui di China. Kerajaan Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia membina Taman Kebudayaan Etnik Hui dan Muzium Etnik Hui untuk memelihara tinggalan kebudayaan dan adat resam etnik itu di kawasan tersebut."

Kerajaan memberi perhatian berat terhadap pembangunan taman tersebut. Kata Lei Runze, "Etnik Hui merupakan salah satu etnik yang agak maju daripada 55 etnik minoriti di China. Kebudayaan etnik Hui merupakan hasil daripada pertembungan kebudayaan Islam dengan kebudayaan China pada zaman Dinasti Tang dan Dinasti Han. Taman tersebut memudahkan rakyat untuk mengetahui dan mamahami kebudayaan dan cara kehidupan etnik tersebut."
Di depan pintu taman itu, terdapat kawasan lapang untuk perhimpunan yang dapat menampung 20 ribu orang. Ketika menyambut hari kebesaran Islam, persembahan nyanyian dan tarian akan diadakan di lapangan tersebut. Bangunan dalam taman tersebut berwarna putih yang melambangkan ciri-ciri Islam dan bentuk bumbungnya seperti kubah. Pekerja yang berkhidmat di taman itu, Xu Wei berkata: "Taman Kebudayaan Etnik Hui yang seluas 20 hektar termasuk muzium etnik Hui, perkampungan adat resam etnik Hui, pusat makanan halal dan pusat kesenian. Taman itu menunjukkan kebudayaan, sejarah, kesenian nyanyian dan tarian serta adat resam etnik Hui."
Muzium dalam taman tersebut terdiri daripada 5 ruang dan mempamerkan lebih seribu data dan buku dari dalam dan luar negara. Bahan-bahan tersebut menerangkan asal usul, sejarah, tamadun dan adat resam etnik Hui serta sumbangan etnik itu terhadap perkembangan tamadun China.
Kata Xu Wei, "Kami bekerjasama dengan beberapa persatuan Islam dan institut al-Quran. Baru-baru ini, Institut Al-Quran Ningxia mengumpulkan imam untuk melawat taman kami."
Muzium di taman tersebut mempamerkan bermacam-macam bahan sejarah mengenai Islam termasuk kitab suci yang sebesar ibu jari dan loceng emas kuno. Al-Quran bertulis tangan pada zaman Dinasti Ming yang dipamerkan dalam muzium tersebut merupakan kitab suci yang paling awal ditemui di Ningxia. Pada bulan Jun 2007, Menteri Kehakiman Kuwait yang juga Menteri Tabung Agama dan Hal-Ehwal Islam menghadiahkan dua buah model kapal dan 12 pasang pakaian Islam kepada taman tersebut. Hadiah-hadiah tersebut merupakan bukti persahabatan antara China dengan negara-negara Arab.
Pameran yang berbagai-bagai itu telah menarik ramai tetamu asing untuk melawat taman tersebut. Pegawai taman itu, Lei Runze berkata: "Duta Besar dan sarjana dari Kuwait, Yemen, Iran, Pakistan dan Mesir telah melawat Taman Kebudayaan Etnik Hui Ningxia. Mereka amat kagum dengan suasana Islam yang begitu baik di taman tersebut."
Pegawai daripada negara-negara Islam yang melawat taman tersebut menyatakan hasrat mereka untuk menghadiahkan bahan-bahan dari negara Islam agar memperkayakan lagi pameran dalam taman tersebut. Lei Runze menyatakan bahawa pekerja-pekerja di taman itu akan berusaha dengan sedaya upaya untuk membangunkan taman tersebut sebagai pusat pertukaran maklumat dan bahan bagi umat Islam dari dalam dan luar negara. Katanya, "Kami membina Taman Kebudayaan Etnik Hui itu untuk memperkenalkan sejarah, kebudayaan, adat resam, kesenian nyanyian dan tarian etnik Hui kepada pelancong dari dalam dan luar negara. Kami akan berusaha menjadikan taman tersebut sebagai pusat pertukaran maklumat antarabangsa bagi umat Islam. Kami akan menubuhkan beberapa badan lagi termasuk pusat pertukaran kebudayaan Islam dan sekolah bahasa Arab. Taman kami akan memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan dasar pintu terbuka di Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia."
------Andika



Tidak ada komentar:

Posting Komentar